Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menulis sepatah dua kata di ruangan ini. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pentadbir laman sesawang ini yang dapat menghasilkan laman informasi yang berguna untuk dikongsi bersama.
Harapan saya semoga para pelajar dapat mengambil faedah dengan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai kolej ini. Maklumat program yang ditawarkan dapat memberikan gambaran dan pengetahuan yang lebih jelas berkaitan program-program yang diikuti oleh para pelajar. Di samping hebahan aktiviti dan kejayaan yang dicapai oleh warga kolej, diharap laman ini dapat bertindak sebagai sumber motivasi dalam usaha meningkatkan prestasi diri dengan lebih cemerlang.
Para pensyarah juga dapat menggunakan medium ini untuk menyampaikan dan menyebarkan informasi penting dan bermakna kepada umum khususnya kepada pelajar-pelajar. Perkongsian ilmu juga boleh direncanakan menerusi laman ini dan para pensyarah dapat mengambil manfaat semaksimum mungkin dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik.
Menerusi laman ini juga, para waris dan ibu bapa boleh mendapatkan maklumat yang tepat mengenai program yang diikuti oleh putera dan puteri mereka. Perkembangan maklumat semasa kolej juga dapat diikuti oleh para waris dan seterusnya dapat meningkatkan kerjasama untuk melahirkan graduan yang mampu menguasai kemahiran insaniah (soft skill), kemahiran teknikal serta memenuhi tuntutan kebolehpasaran tenaga kerja.
Laman ini juga boleh menjadi medium kepada warga kerja kolej ini untuk berkongsi maklumat dan memperhebat kerja berpasukan untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat khususnya kepada putera dan puteri kolej ini.
Akhir kata, semoga Kolej Vokasional Nibong Tebal ini dapat dikenali di seluruh negara dan seterusnya di peringkat antarabangsa hasil kerjasama cemerlang dan komitmen padu perbagai pihak.
Sekian, terima kasih
TN. HJ. ZAINOL BIN DARUS Pengarah Kolej Vokasional Nibong Tebal